SENTUHAN KARYA ILHAM PICTURES …

09/08/2009

http://www.ilhampictures.com

Filed under: Personal — ipent @ 3:35 AM

Kepada semua para pelanggan … sekali lagi kami ingin memberitahu bahawa kami telah berpindah ke blog baru kami yang berdaftar iaitu :-

www.ilhampictures.com

Kini kami sudah pun mempunyai domain & hosting sendiri … alhamdulillah … dan untuk makluman blog ini ( ilhampictures.wordpress.com ) tidak akan lagi di update

Sila klik address di atas … semoga dengan kehadiran anda semua akan menjadikan IPE terus maju …

Sekian untuk makluman … :-D :-D :-D

04/08/2009

Variasi Bunga Telur

Filed under: Artikel — ipent @ 8:17 AM

Sumber : Berita Harian
Tarikh : -

KEMERIAHAN majlis perkahwinan tidak sempurna jika tetamu yang datang hanya pulang dengan tangan kosong. Sebagai tanda ingatan, biasanya keluarga mempelai akan membekalkan tetamu dengan cenderamata pelbagai gaya, tetapi kebanyakannya masih menitipkan bunga telur untuk dijadikan kenang-kenangan.

Perubahan masa turut mengubah reka bentuk bunga telur pada masa ini yang ada kalanya diisi dengan haruman bunga potpouri atau gula-gula. Bunga telur jika dikumpulkan dalam jumlah yang banyak dan diletakkan di atas pahar pula dikenali sebagai bunga pahar.

Pelengkap adat perkahwinan Melayu: Bunga telur pelbagai bentuk, ceriakan majlis raja sehari

MENYENARAIKAN satu persatu kelengkapan yang perlu ada dalam majlis perkahwinan, bunga telur tidak pernah ditinggalkan, malah ia menjadi antara barangan yang sama pentingnya dengan sirih junjung yang menjadi lambang berlangsungnya hari bahagia itu. Lebih istimewa, bunga telur bukan saja dijadikan sebagai tanda kenangan kepada tetamu yang hadir untuk dibawa pulang, malah ia menjadi barang perhiasan paling sinonim yang digubah menarik di atas pahar dan diletakkan di kiri kanan pelamin.

Jika sebelum ini, bunga telur hanya direka secara ringkas atau boleh dibeli secara borong dalam pelbagai warna, kini permintaan untuk mendapatkan bunga telur buatan tangan dalam rekaan eksklusif khususnya bagi menepati tema perkahwinan semakin mendapat perhatian ramai.

Sebenarnya, pemberian bunga telur sebagai tanda terima kasih kepada tetamu yang hadir di majlis perkahwinan yang diadakan, mempunyai makna yang tersirat. Mungkin ramai yang menganggapnya hanya sebagai adat pelengkap majlis raja sehari, tetapi pemberian telur itu melambangkan kesuburan dan menjadi simbol permulaan kehidupan bagi pasangan yang baru berkahwin.

Pemilik Sira Panji, Azuana Rashid,27, berkata majlis perkahwinan tanpa pemberian bunga telur sebagai berkat kepada tetamu dilihat kurang berseri, malah ia ibarat perkahwinan tanpa pelamin kerana ianya sudah menjadi kebiasaan dan sebahagian daripada lambang masyarakat Melayu.

Katanya, tradisi turun menurun bagi masyarakat Melayu untuk meraikan tetamu perlu terus dipertahankan walaupun perubahan zaman mungkin menyebabkan peranan bunga telur semakin terhakis.

“Pelbagai variasi bunga telur ada di pasaran sekarang, malah jenis, rekaan dan penghasilannya mengikut bajet yang ditetapkan boleh menjadi lambang kepada status keluarga mempelai berkenaan.

“Penghasilan bunga telur juga perlu selari dengan konsep perkahwinan yang diadakan. Sebagai contoh, jika tema perkahwinan itu berkonsepkan taman Inggeris, bunga telur yang sesuai biasanya dalam bentuk bunga ros berwarna putih, merah jambu, pic, ungu atau merah jambu kelam,” katanya.

Azuana yang mengusahakan perniagaan pembuatan bunga telur, bunga pegang pengantin dan bunga hantaran bersama kakaknya, Maizatul Akmam,37, berkata pelbagai bahan berkualiti digunakan untuk menghasilkan bunga telur eksklusif termasuk menggunakan kain songket, renda, kain prada berkilat, organza dan teknik celup (dip).

Biasanya, antara 30 hingga 40 batang bunga telur dicucuk pada setiap pahar yang menghiasi kiri kanan pelamin, manakala selebihnya diagihkan kepada tetamu.

“Mengikut adat, individu yang merenjis pengantin sebagai tanda merestui perkahwinan itu akan diberikan bunga telur yang diambil daripada pahar kerana rekaan bunga pahar ini lebih eksklusif dan menarik berbanding bunga telur biasa.

“Rekaan yang sering menjadi pilihan ialah bentuk bunga lili, ros, sakura, orkid, kekwa dan kemboja yang dihasilkan secara teliti mengikut permintaan pelanggan berdasarkan bahan yang ditetapkan,” katanya.

Pembuatan bunga telur memerlukan ketelitian dan Azuana mampu menyiapkan tempahan dalam tempoh sebulan sebelum majlis berlangsung. Selain menghasilkan rekaan asli, ada juga pelanggan yang datang membawa contoh bunga telur tertentu untuk dihasilkan.

“Harga bagi setiap tangkai bunga telur bergantung kepada bahan yang digunakan, rekaan dan jenis bunga. Biasanya, untuk majlis perkahwinan, tempahan yang diterima melebihi 700 bunga telur dengan setiap satu berharga antara RM10 hingga RM70,” katanya.

Pernah menghasilkan bunga pegang untuk penyanyi terkenal, Datuk Siti Nurhaliza ketika majlis pernikahannya dulu, Azuana berkata, kreativitinya menghasilkan bunga telur turut mendapat perhatian pengantin di Singapura yang membuat tempahan bagi menghiasi majlis perkahwinan di seberang tambak itu.

“Bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat, kami membuka bengkel pembuatan bunga di Diamond Square, Jalan Gombak, manakala mereka yang ingin melihat contoh bunga yang kami hasilkan pula boleh datang ke bilik pameran di Platinum Walk, Jalan Langkawi, Setapak, Kuala Lumpur.

“Dibantu tiga pekerja, Sira Panji turut berhasrat menyediakan bunga telur yang sudah disiapkan untuk memenuhi permintaan pelanggan tetapi mengekalkan rekaan eksklusif dengan harga serendah RM5 sebatang,” katanya.

INFO :

Bilik pameran Sira Panji di Blok E, N0 69-1, Platinum Walk, No 2 Jalan Langkawi, Setapak, Kuala Lumpur atau telefon
Tempoh sebulan lebih awal diperlukan untuk membuat tempahan bunga telur.
Bunga telur dip mendapat permintaan tinggi. Cara membuatnya – bentukkan rangka daun dan rangka bunga dan celup dalam pencelup dip. Keringkan selama 30 minit dan jika ingin meletakkan bahan berkilat, celup sekali lagi dalam gam pelekat dan kemudian tabur bahan berkilat itu. Biarkan sehingga kering.

24/07/2009

Direnjis-renjis : Pelamin Impian

Filed under: Artikel — ipent @ 8:23 AM

Sumber : Berita Harian
Tarikh Artikel : 24 Julai 2009

PELAMIN INDAH LENGKAPKAN MAJLIS BERSEJARAH

MAJLIS perkahwinan dianggap hari yang penuh bersejarah bagi setiap pasangan yang bakal memulakan kehidupan baru. Tidak hairanlah ramai yang sanggup berbelanja besar untuk mengadakan majlis yang istimewa supaya dapat dijadikan kenangan seumur hidup. Bermula dengan majlis akad nikah hingga ke majlis bersanding, semuanya dipastikan terbaik dan terindah bagi mencapai impian perkahwinan.

Penampilan pengantin yang menjadi raja sehari diperincikan agar tampil mempesona sepanjang masa. Justeru itu, bukan saja solekan memperindah wajah dan busana yang menjadi persalinan pada hari bahagia diberi tumpuan utama, malah pelamin juga menjadi titik fokus dalam penganjuran majlis persandingan.

SINGGAHSANA PENGANTIN

MENANTIKAN berlangsungnya majlis perkahwinan, boleh membuatkan fikiran bercelaru kerana bimbang majlis istimewa dan bersejarah itu gagal berjalan seperti dirancang. Walaupun sudah diperinci satu persatu, mungkin masih ada yang tertinggal sehingga boleh mencacatkan keindahannya sedangkan majlis itu bakal dikenang sepanjang hayat.

Segala-galanya perlu tampil cantik dan mempersona dan pelamin adalah antara tumpuan utama yang perlu diberi perhatian. Ini penting kerana pelamin menjadi lokasi pertama menyatukan pasangan raja sehari untuk duduk bagi tatapan tetamu yang hadir. Menjadikannya lebih bermakna, pelamin juga menjadi pusat tumpuan lensa kamera bagi merakamkan kenangan pasangan pengantin, sebagai tanda permulaan untuk mereka melangkah ke dunia baru.
Sewajarnya, tempat sepenting itu diberi perhatian supaya hiasannya menarik, bukan saja memenuhi selera pasangan pengantin, malah turut mengujakan tetamu yang melihatnya. Tidak hairanlah, keindahan pelamin juga menjadikan tetamu tidak mahu melepaskan peluang untuk bergambar di situ untuk diabadikan sebagai kenangan.

Ada yang menggelar pelamin sebagai kota cinta atau gerbang cinta kerana ia membuatkan sesiapa yang menghadiri majlis perkahwinan itu bagaikan berada dalam alam impian indah. Kepelbagaian hiasan pelamin mengikut tema atau konsep majlis perkahwinan secara langsung memberi kelebihan kepada pasangan pengantin membuat pilihan sama ada mahukan pelamin bersuasana romantik, damai dan penuh nilai kesenian artistik bagi menyerlahkan seri pengantin serta tumpuan setiap mata yang memandang.

Perunding perkahwinan, Diana Ibrahim, berkata penyediaan pelamin biasanya bergantung kepada tema majlis perkahwinan supaya ianya boleh disesuaikan dengan pakaian dan aksesori raja sehari.

“Pengantin perlu menetapkan dulu tema perkahwinan dan selepas itu, barulah rekaan pelamin boleh dihasilkan. Ini bagi mengelakkan busana perkahwinan yang dipakai pengantin kelihatan janggal dengan pelamin dan hiasan yang disediakan kelak.
“Jika pelamin yang dikehendaki mereka bertentangan dengan tema yang dipilih itu, kita akan memberi nasihat supaya perubahan dilakukan atau mengurangkan sedikit hiasannya, tetapi segala-galanya bergantung kepada bajet yang disediakan pengantin terbabit,” katanya ditemui di butik pengantinnya, D&D Beauty House di Ampang, baru-baru ini.

Diana yang turut menjadi pilihan artis terkenal ketika melangsungkan perkahwinan berkata, pelamin yang dihiasi konsep bungaan segar menjadi pilihan pada masa ini dan ia akan digantikan dengan bunga tiruan jika bajet disediakan tidak mencukupi.

“Rekaan pelamin pengantin berbeza mengikut majlis iaitu bagi acara pertunangan, pernikahan atau bersanding. Untuk rekaan pelamin moden, biasanya kita menggunakan banyak kain berwarna putih yang boleh diubahsuai warnanya menggunakan sistem pencahayaan.

“Penggunaan pelamin berasaskan kayu pula sesuai untuk persandingan berkonsepkan tradisional,” katanya.

Diana berkata, saiz pelamin dan hiasannya juga bergantung kepada lokasi majlis persandingan diadakan. Sebagai contoh, pelamin bersaiz kecil dengan hiasan sederhana sesuai jika majlis persandingan diadakan dalam rumah.

“Biasanya, ruang untuk pengantin bersanding dalam rumah adalah terhad dan kita tidak mahu menampilkan pelamin yang sarat dengan hiasan kerana ia boleh menimbulkan suasana seakan sesak.

“Pemilihan latar belakang pelamin itu pula perlu disesuaikan dengan busana pengantin. Jika memakai songket, penggunaan bunga sebagai hiasan perlu diminimumkan dan pelamin yang sesuai adalah jenis kayu,” katanya.

Persandingan dalam khemah pula sesuai menggunakan pelamin berkonsepkan moden yang memerlukan banyak hiasan aksesori dan bunga termasuk yang digantung di sekitar lelangit pelamin.

“Sebenarnya, kerusi untuk pelamin itu juga tidak boleh sembarangan kerana ia perlu menepati konsep. Ada kalanya, ia perlu ditempah khas tetapi membabitkan kos tinggi. Sebab itu, bagi setiap rekaan pelamin, kita akan sesuaikannya dengan konsep dan bajet sebelum merealisasikannya,” katanya.

Mengulas proses yang perlu dilalui sebelum pelamin yang diimpikan itu dihasilkan, Diana berkata, beliau perlu berbincang dengan pengantin untuk mengetahui keseluruhan konsep majlis berkenaan sebelum menghasilkan rekaan.

“Kita perlu memahami apa yang pengantin mahu, bagaimana karektor mereka dan menyesuaikannya dengan bajet yang diperuntukkan. Berdasarkan maklumat itu, kita akan memberi cadangan bentuk pelamin yang sesuai dan melakarkannya di atas kertas.

“Mungkin apa yang dimahukan pengantin tidak sesuai dengan konsep atau tempat majlis berlangsung. Contohnya, konsep pelamin dalam taman, hanya sesuai diadakan majlis persandingannya pada waktu malam kerana cuaca yang tidak panas dan memerlukan tempat terbuka.

“Jika tetap mahukan pelamin jenis itu di rumah, kita perlu meminimumkan penggunaan aksesori dan bunga kerana tidak mahu dilihat terlampau berat,” katanya.

Bagi menghasilkan pelamin dalam kategori eksklusif dengan bajet yang tinggi, Diana berkata, ciptaan biasanya hanya digunakan untuk pelanggan berkenaan saja.

“Kita perlu melawat rumah pengantin atau lokasi majlis perkahwinan diadakan untuk melihat keluasan dan perabot yang ada di situ supaya ianya tidak menjejaskan penampilan pelamin itu kelak. Pembuatan pelamin dilakukan secara teliti menggunakan fabrik dan aksesori berkualiti, tampak mewah dan eksklusif dan biasanya saya suka menggunakan gantungan bunga dan kristal berkilauan.

“Pekerja mahir juga diperlukan bagi memastikan peralatan yang dipasang pada pelamin selamat untuk digunakan kerana kita tidak mahu ada sambungan yang terbuka ketika majlis besar itu berlangsung sehingga menyebabkan kejadian tidak diingini berlaku dan ini akan memalukan semua pihak,” katanya.

Untuk majlis persandingan di rumah, pelamin akan dipasang sehari sebelum majlis pernikahan berlangsung bagi mengekalkan kesegaran bunga yang digunakan, manakala di dewan atau hotel pula, waktu tertentu diberikan dan perlu menepati masa berkenaan.

“Untuk latar belakang, saya gemar menggunakan kain sifon dan renda Perancis dan keindahan pelamin juga boleh ditambah dengan penggunaan cahaya lampu pelbagai warna atau menggantung lampu candeliar sebagai hiasan,” katanya.

Diana berkata, untuk menepati tema perkahwinan, seeloknya bakal pengantin mendapatkan pakej pakaian, solekan dan pelamin daripada butik perkahwinan yang sama bagi memudahkan penyelarasan dibuat.

INFO :

D&D Beauty House
• Setiap set pelamin D&D Beauty House berharga antara RM1,500 hingga RM35,000
• D&D Beauty House boleh dihubungi menerusi 03-42932588 03-42932588 atau layari laman web www.dndbeautyhouse.com
• Pakej perkahwinan lengkap iaitu solekan, pakaian dan pelamin ditawarkan dengan harga RM3,999 dan RM5,990 (kedua-duanya di rumah) dan majlis di dewan dengan harga RM14,990.

Evolusi Kad Kahwin

Filed under: Artikel — ipent @ 8:12 AM

Sumber : Berita Harian
Tarikh Artikel : 24 Julai 2009

PERKAHWINAN adalah detik paling manis yang bakal dikenang seumur hidup kerana ia tanda berlakunya perubahan dalam meniti kehidupan, seterusnya membentuk keluarga bahagia. Jadi, tidak hairanlah jika pasangan mempelai akan berusaha sedaya mungkin menjadikan hari bahagia itu berlangsung sempurna dalam segala segi.

Dalam mengatur majlis perkahwinan, banyak perkara yang perlu diberi perhatian dan perincian teliti terutama urusan menempah kad jemputan perkahwinan untuk dihantar kepada tetamu. Malah, kewujudan kad jemputan dikatakan lebih penting jika dibandingkan dengan penyediaan sirih junjung yang menjadi barang utama dalam senarai hantaran pengantin.

BINGKISAN PENGANTIN

MENGANJURKAN majlis perkahwinan bukan perkara mudah kerana banyak hal perlu difikirkan bagi memastikan hari bahagia berlangsung sempurna tanpa cacat cela. Bermula dengan memilih tarikh sesuai untuk majlis gilang gemilang itu, keluarga pengantin terus menyenaraikan satu persatu perkara yang perlu dilakukan secara berperingkat supaya segala-galanya menepati apa yang dihajati apabila tiba hari bersejarah itu.

Satu yang tidak pernah dilupakan ialah kad jemputan perkahwinan kerana ia memberi impak besar bukan saja kepada pasangan mempelai, tetapi juga kepada majlis yang diadakan. Malah, kad jemputan itu juga boleh menjadi lambang kepada status keluarga pengantin berkenaan berdasarkan kepada keunikan kad yang ditempah untuk dihantar kepada tetamu jemputan.
Perunding perkahwinan daripada Bayu Weddings, Rashidah Mat Zin, berkata tidak mengira sama ada majlis perkahwinan itu berlangsung dalam skala kecil atau besar dengan lokasinya di kampung atau bandar, kad jemputan perkahwinan tetap penting kerana ia medium utama bagi memaklumkan kepada tetamu berhubung majlis yang diadakan pada tarikh dan tempat tertentu untuk dihadiri.

Katanya, walaupun perubahan zaman menyebabkan dunia teknologi maklumat semakin berkembang yang membolehkan khidmat sistem pesanan ringkas (SMS) atau mel elektronik (e-mel) digunakan untuk menjemput tetamu, tradisi menghantar kad jemputan perkahwinan tidak pernah pupus, malah akan terus wujud sehingga bila-bila.

“Kad jemputan ini bukan sekadar kad biasa, tetapi ia mempunyai kesan langsung kepada penganjuran majlis perkahwinan. Biasanya, kad jemputan ditempah berdasarkan jumlah tetamu yang mahu dijemput dan ini berkait pula dengan jumlah makanan yang akan dihidangkan untuk mereka.

“Sebab itu, kad ini penting kerana selain memaparkan nama dan nombor telefon orang yang menjemput, nama pasangan yang bakal berkahwin, tarikh, masa dan lokasi majlis perkahwinan serta peta bagi memudahkan tetamu datang, ia juga boleh memberi maklum balas tepat berhubung jumlah sebenar tetamu yang akan hadir ke majlis itu, sekali gus dapat merancang bajet makanan yang akan disediakan,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Bukit Antarabangsa, baru-baru ini.
Rashidah berkata, semua pengantin secara lumrahnya mahukan segala perkara berkaitan majlis perkahwinan mereka termasuk rekaan kad jemputan dicipta secara eksklusif dan menarik, tetapi ianya bergantung kepada bajet yang ada.

“Di kawasan kampung pada masa dulu, ada kad kahwin yang berharga 20 sen, tetapi tetap menarik dan sekarang pelbagai pilihan ditawarkan mengikut cita rasa dan kemampuan masing-masing bermula harga serendah RM1 hingga RM45 sekeping.

“Biasanya, kad jemputan ini selari dengan tema majlis perkahwinan yang diadakan termasuk pemilihan corak, warna dan saiznya, sama ada dalam bentuk kertas biasa yang lembut atau kad berkulit keras dengan saiz biasanya antara 10cm x 14cm hingga 20cm x 26 cm,” katanya.

Rashidah yang kerap menguruskan perkahwinan golongan atasan berkata, kad jemputan kahwin biasanya ditempah empat bulan sebelum majlis berlangsung dan hanya dicetak selepas pindaan terakhir dilakukan pasangan mempelai atau keluarga pengantin.

“Bagi golongan ternama atau kerabat diraja, biasanya mereka memilih kad berkulit keras seakan bentuk buku dan ada juga mahukan kad biasa, tetapi ditambah hiasan menarik seperti ikatan reben organza, sutera atau satin, selain meletakkan hiasan comel seperti rama-rama, bunga atau taburan kristal.

“Selain bentuk empat segi, kad kahwin juga direka dalam saiz berbeza seperti bentuk cakera padat (CD) atau bersegi-segi dan warna pastel atau krim lembut menjadi pilihan utama,” katanya.

Bagi pasangan pengantin yang datang ke Bayu Weddings, Rashidah menawarkan tiga cadangan rekaan kad jemputan eksklusif berdasarkan karektor pengantin dan terpulang kepada mereka untuk membuat pilihan atau mahukan rekaan sendiri.

“Ada yang mahukan kad tidak boleh koyak dan ini memerlukan material berbeza dan sebahagiannya pula meminta kad yang direka mempunyai beberapa helaian dalaman berasingan untuk menyertakan sekali atur cara majlis, peta lokasi dan kad jawapan bagi mengesahkan kehadiran.

“Mengikut trend sekarang, ramai pasangan pengantin mahu meletakkan gambar mereka pada kad jemputan itu, malah ada yang mengadakan sesi fotografi khas seakan majlis persandingan sebenar dan gambar itu kemudian dicetak pada kad jemputan kahwin mereka,” katanya.

Dibantu suaminya, Ronifira Rejab dan Pengarah Kreatif, Abdul Rahim Tamrin dalam menghasilkan rekaan kad jemputan kahwin yang menarik, Rahsidah berkata, kad paling mahal yang pernah dihasilkannya berharga RM25 sekeping.

Kad berkenaan berbentuk kulit keras, menggunakan reben bertali sutera dan taburan batu kristal di atasnya.

Biasanya, kad berharga mahal dan rekaan paling eksklusif ini khusus untuk jemputan di kalangan ternama dan kerabat diraja dan dicetak dalam jumlah yang terhad saja.

“Sebenarnya, kad jemputan perkahwinan ini mempunyai nilai sentimental yang tinggi dan boleh disimpan untuk kenangan. Seorang daripada pelanggan saya masih menyimpan kad perkahwinannya dulu yang sudah berusia lebih 28 tahun,” katanya.

PROFIL : Bayu Weedings
• Lokasi: Ampang Gallery, Lorong Wangsa 5A, Bukit Antarabangsa, Kuala Lumpur.
• Tel: 019-3576022/019-3654696.
• Pejabat korporat: Tingkat 3, Wisma RKT, Jalan Raja Abdullah Off Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur.
• Tel: 03-26953232 03-26953232
• Turut memiliki pejabat cawangan di Cape Town, Afrika Selatan.

Malam Kebudayaan Karnival Sukan IPTS Malaysia Zon Selatan ‘09

Filed under: Event — ipent @ 1:13 AM

Pada 15 Julai 2009 yang lepas … jurufoto IPE telah dijemput oleh saudara Harris dari NahamPhoto untuk bersama-sama merakamkan satu majlis iaitu Malam Kebudayaan sempena Karnival Sukan IPTS Malaysia Zon Selatan 2009 … majlis ini telah diadakan di Dewan Jubli Intan, Johor Bahru … saudara Harris adalah jurufoto rasmi di dalam majlis tersebut.

Pada malam tersebut berbagai acara diadakan … antaranya tayangan slide aktiviti sukan oleh para atlit … acara nyanyian … dan tidak ketinggalan acara penyampaian hadiah serta joget lambak.

Terima kasih IPE ucapkan kepada saudara Harris kerana sudi menjemput bersama-sama di dalam menjayakan majlis tersebut.

- Photog IPE

23/07/2009

Hari Pertama Program Jelajah Johor 2009 Zon B

Filed under: Event — ipent @ 10:13 PM

Alhamdulilah … selesai sudah Program Jelajah Johor 2009 Zon B anjuran Unit Medkom, Pejabat Menteri Besar Johor meliputi dua daerah iaitu Muar dan Ledang … selama 2 hari jurufoto IPE turut serta di dalam siri jelajah pada kali ini …

Objektif jelajah kali ini adalah untuk melihat dengan lebih dekat lagi aktiviti pembangunan yang sedang dan telah dibangunkan di kawasan-kawasan kampung di daerah Muar & Ledang … seramai 60 orang peserta serta Myvi Xtreme Group sebagai transporter mengikuti dalam siri penjelajahan ini …

Nanti slide hari kedua Program Jelajah Johor 2009 Zon B di blog ini …

03/07/2009

Direnjis-renjis : Tepung Tawar Sekadar Adat

Filed under: Artikel — ipent @ 10:23 PM

Sumber : Berita Harian
Tarikh Artikel : 3 Julai 2009

Upacara menepung tawar atau lebih mudah dipanggil merenjis dalam perkahwinan Melayu kini bagaikan satu kemestian ketika berlangsungnya majlis persandingan. Hakikatnya merenjis bukanlah upacara wajib, sebaliknya ia tidak memberi kesan sekiranya tidak dibuat.

Sejarah mengatakan budaya merenjis hanya dilakukan oleh masyarakat India dalam majlis perkahwinan bertujuan mengelak perkara yang tidak diingini berlaku. Mencungkil maklumat mengenai upacara merenjis dalam perkahwinan Melayu, perunding perkahwinan, Hazree Wahid menceritakan lebih lanjut apa yang dikatakan adat merenjis dalam perkahwinan Melayu.

Masyarakat Melayu anggap merenjis sebagai tanda restu kedua-dua belah pihak

Merenjis biasanya dilakukan di atas pelamin ketika kedua-dua pengantin lelaki dan perempuan duduk bersanding. Ia sebagai simbolik kepada keluarga merestui kedua-dua mempelai dengan harapan supaya pasangan pengantin kekal bahagia selamanya.

Upacara menepung tawar itu secara keseluruhannya dikatakan dipengaruhi dan diamalkan oleh masyarakat India yang percayai upacara berkenaan dapat mengelakkan daripada berlakunya perkara buruk selain menghalau syaitan yang mendorong ke arah kerosakan kebahagiaan serta mengganggu pengantin.

Perunding perkahwinan, Hazree Wahid, berkata jika dilihat dalam majlis perkahwinan Melayu, merenjis antara adat dalam perkahwinan yang semakin menjadi ikutan tanpa menyedari maksud di sebalik upacara berkenaan.

Katanya, dalam masyarakat India merenjis bukan sekadar amalan atau adat mereka, sebaliknya ia adalah sebahagian daripada ajaran agama mereka yang mengharuskan upacara itu bagi membuang bala serta musibah pasangan.

Sebaliknya pula, rata-rata masyarakat Melayu berpendapat upacara merenjis dalam perkahwinan adalah simbolik kepada keluarga merestui kedua-dua mempelai dengan harapan supaya pasangan pengantin kekal bahagia selamanya.

“Istiadat merenjis dilakukan sebagai pelengkap dalam atur cara majlis perkahwinan. Jika dirujuk, amalan ini sebagai menambah kemeriahan dan keceriaan majlis di samping mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan dan juga sebagai menghormati keluarga yang lebih tua.

“Kebiasaannya, upacara merenjis dimulakan oleh ahli keluarga yang lebih tua sebagai tanda hormat dan kasih seperti datuk dan nenek serta ibu dan bapa. Ia baru diikuti ahli keluarga dan saudara mara terdekat. Secara kelaziman, ia dilakukan oleh pihak lelaki dulu diikuti oleh pihak perempuan. Kebiasaannya amalan merenjis itu dilakukan dalam bilangan ganjil kedua belah pihak,” katanya ketika ditemui di butiknya, Hazree Wahid Couture di Ampwalk, Ampang baru-baru ini.

Upacara merenjis dulu lebih teratur dan dilakukan dengan pelbagai bahan serta keperluan yang lengkap. Bahan merenjis yang perlu ada ialah beras kunyit, bertih, air mawar, inai dan bunga rampai.

Hazree berkata, bahan berkenaan dilemparkan ke kiri kanan pengantin lelaki dan perempuan sebagai pemanis dan penyeri, selain bertujuan menghalau perkara buruk yang bakal hadir dalam perkahwinan mereka.

“Masyarakat dulu, mencalit inai ke telapak tangan kedua-dua mempelai yang mana tangan pengantin dilapik dengan daun sirih untuk mengelakkan kekotoran. Seterusnya, ibu pengantin mengambil peranan mengarahkan kedua mempelai pengantin menutup kedua-dua tangan dan dihadapkan ke paras dada sebagai tanda hormat dan terima kasih,” katanya.

Bahan merenjis juga diletakkan di dalam bekas khas dipanggil set merenjis. Jika dulu, kebanyakan set merenjis dibuat rendah berbanding sekarang lebih tinggi. Ia berfungsi bagi memudahkan sesi merenjis tanpa perlu bersusah payah tunduk bagi mengambil bahan berkenaan.

Malah, kata Hazree, set merenjis kini direka dalam pelbagai bentuk, rupa dan saiz bagi memenuhi cita rasa pengguna yang pelbagai.

“Dari segi rekaannya pula, kini set merenjis lebih mewah dan pelbagai reka coraknya bagi menambahkan cita rasa mengikut majlis perkahwinan. Dari segi rupa bentuk, dulu hanya sekadar dulang ringkas yang berisi beberapa mangkuk, tetapi sekarang banyak yang hadir dalam pelbagai rekaan, saiz dan bentuk.

“Lebih menarik, ada juga set merenjis dihias dengan ukiran kerawang dan diperbuat daripada tembaga berwarna emas dan perak. Juga ada juga yang hadir dengan lapik cermin pada bahagian bawah sebagai penambah cita rasa berbanding set dulu,” katanya.

Walaupun amalan merenjis perkahwinan Melayu dipengaruhi oleh masyarakat India, masih ada lagi perbezaan dari segi set merenjis. Set merenjis masyarakat India kekal menggunakan set mangkuk besi keluli untuk diisi dengan untuk upacara merenjis mereka.

Majlis perkahwinan adalah bagi meraikan pengantin yang sering dianggap Raja Sehari, oleh itu setiap kelengkapan dan hiasan yang digunakan seperti meraikan Raja yang bersemayam di singgahsana.

Info:

Hazree Wahid

Pekerjaan: Perunding perkahwinan/pereka Fesyen

Butik: Hazree Wahid Couture/Wedding Specialist

Lokasi: The Ampwalk, Suite 2.09, 2 Floor 218 Jalan Ampang, Kuala Lumpur

Telefon: 03-21712894 /012-2542894

Evolusi Fotografi Perkahwinan

Filed under: Artikel — ipent @ 11:41 AM

Sumber : Berita Harian
Tarikh Artikel : 12 Jun 2009

FOTOGRAFI perkahwinan antara perkara paling penting dan wajib, malah tidak seharusnya dilupakan. Sama penting dengan hantaran dan pelamin, fotografi perlu berada dalam susunan persiapan perkahwinan utama.

Dijadikan kenangan, masyarakat dulu mengabadikan foto perkahwinan secara eksklusif dalam studio berlatarbelakangkan gambar tertentu, selain bergambar di pelamin dan bilik tidur. Namun, kini bagaikan satu evolusi baru dalam dunia fotografi perkahwinan, pengantin moden lebih gemar mengabdikan perkahwinan dengan penggambaran di luar lokasi majlis.

Di kenali sebagai ‘Outdoor Wedding Portraiture Shooting’, penggambaran luar lebih eksotik apabila ada pengantin memilih lokasi mencabar seperti di tepi pantai, sawah padi, dalam hutan dan menariknya di tengah kota raya.

Evolusi bidang fotografi perkahwinan semakin luas, malah perspektif semakin berkembang mengikut idea dan trend semasa. Gambar seperti aksi tegak di pelamin dan bilik tidur kurang menjadi perhatian sebaliknya gaya lebih spontan atau ‘candid’ menjadi pilihan terkini kerana pengantin berasakan ia memberi kesan terbaik dalam fotografi perkahwinan.

Spontan adalah teknik terkini yang lebih digemari pengantin dan jurugambar kerana ia nampak lebih semula jadi dan tidak dibuat-buat. Contohnya, gambar senyuman dan ketawa secara spontan lebih cantik daripada senyuman dipaksa.

Selari dengan kehendak dan penawaran daripada jurugambar profesional, pengantin moden lebih gemar bergambar di luar lokasi persandingan. Gaya penggambaran ‘Outdoor Wedding Portraiture Shooting’ sudah mula mendapat pendedahan kira-kira lima tahun lalu, malah menjadi semakin popular pada masa kini.

Berkongsi pandangan mengenai dunia penggambaran luar pengantin, jurugambar perkahwinan profesional, Mohd Subhi Karim, berkata konsep itu bermula daripada idea jurugambar di Barat.

“Konsep itu menjadi ikutan apabila ia dimulakan oleh jurugambar perkahwinan di Eropah sebagai konsep penggambaran praperkahwinan di kalangan masyarakat Barat. Lantas, idea itu diguna pakai jurugambar di negara ini untuk penggambaran pengantin masyarakat Cina di Malaysia sebelum tersebar luas di kalangan masyarakat Melayu.

“Walaupun konsep itu datang dari luar, sebenarnya idea terhadap lokasi dan penggambaran datang daripada jurugambar sendiri. Jurugambar yang kreatif semestinya mempunyai idea tersendiri dan cara masing-masing untuk mengendalikan sesi penggambaran setiap pasangan yang ingin melangsungkan perkahwinan,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Beliau berkata, pengantin moden masa kini lebih gemar memilih kawasan seperti tepi pantai, sawah bendang, bangunan atau rumah usang, rumah tradisional dan lorong kecil di celah bangunan. Selain itu, ada juga yang ingin bergambar kenangan di stesen kereta api dan belukar.

“Sungguhpun begitu, kepercayaan yang diberikan kepada jurugambar mengatasi segala-galanya. Mereka sanggup bergambar asalkan gambar tampak berbeza dan mempunyai keunikan tersendiri. Bagaimanapun, konsep ini tiada banyak beza dari segi teknik penggambaran, cuma yang memberi kelainan ialah pengarahan ketika bergambar. Jurugambar peka dan melihat dengan tepat lokasi serta cara pengarahan yang sesuai,” katanya.

Mohd Subhi tidak menafikan bidang fotografi turut mengundang pelbagai cabaran membabitkan kedua-dua pihak iaitu jurugambar dan pelanggan. Cabaran kepada jurugambar antaranya ialah bagaimana ingin mendapatkan gambar menarik dengan unsur yang ada pada lokasi penggambaran di dalam elemen gambar perkahwinan pengantin.

“Selain itu, pengantin turut terpaksa mengetepikan soal malu ketika melakukan penggambaran walaupun sarat dengan pakaian pengantin. Bersanggul tinggi, berselendang, pakaian yang berat dan sarat di kawasan yang dikatakan menarik, tidak menghalang mereka untuk terus mendapatkan gambar fotografi perkahwinan yang diidamkan,” katanya.

Beliau berkata, kebanyakan jurugambar menggalakkan pelanggan mereka melakukan penggambaran praperkahwinan sebagai koleksi tambahan dalam gambar perkahwinan mereka. Namun, proses itu memerlukan perbincangan dan suai kenal supaya keserasian itu ada bagi memudahkan sesi penggambaran.

Sejak menceburkan diri dalam bidang fotografi perkahwinan ini, Mohd Subhi berkata, beliau tidak nampak kenapa bakal pengantin perlu menolak pakej penggambaran luar kerana ia sangat menarik dan hasilnya boleh menjadi tatapan seumur hidup.

“Saya mencipta identiti sendiri dengan menggabungkan beberapa elemen menerusi jurugambar perkahwinan antarabangsa antaranya Joe Buissink iaitu jurugambar legenda daripada Masters of Wedding Photography dan Jessica Claire yang menghasilkan karya terang dan menyerlah. Selain itu, saya juga meminati seorang jurugambar dari Indonesia, Kenvin Pinardy kerana beliau mempunyai identiti seni halus dalam karya gambar perkahwinan,” katanya.

Walaupun ada yang berpendapat kos jurugambar perkahwinan sangat mahal, Subhi berkata, setiap jurugambar mempunyai pakej berbeza mengikut kemahiran, pengalaman, kualiti hasil kerja dan khidmat ditawarkan. Ada yang serendah RM800 dan ada juga yang menawarkan harga setinggi RM8,000 bergantung kepada hasil kerja dan kualitinya.

“Sebagai jurugambar perkahwinan saya menasihatkan kepada bakal pengantin, pilihlah jurugambar anda dan kualiti. Jangan hanya melihat kepada harga menarik, tetapi hasilnya pula menghampakan,” katanya.

Perkahwinan hanya sekali dalam seumur hidup. Walaupun ditakdirkan perkahwinan berlangsung lebih daripada sekali, majlis pertama kali itu adalah yang paling bermakna dalam hidup semua orang. Sematkan kenangan abadi majlis perkahwinan bersama insan tersayang bukan saja dalam acara majlis tetapi di luar lokasi persandingan.

Panduan memilih jurugambar untuk majlis perkahwinan:

a) Lakukan kaji selidik dan perbandingan mengenai jurugambar, perbezaan tawaran, kualiti, pakej yang ditawarkan serta harga.
b) Tempah jurugambar seawal enam bulan sebelum menjelang majlis.
c) Pilih jurugambar yang sesuai dan berkebolehan untuk merancang setiap penggambaran bermula daripada majlis pernikahan sehingga ke jenjang pelamin mengikut selera pasangan pengantin sendiri.
d) Berbincang dan lakukan suai kenal antara jurugambar dan pengantin supaya kedua-dua belah pihak serasi ketika melakukan penggambaran.
e) Buat senarai gambar harus ada diambil oleh jurugambar supaya tidak berlaku perselisihan faham dan tidak tertinggal gambar yang sangat penting dalam hidup.
f) Pembayaran bergantung kepada perbincangan.
Jangan bayar jumlah keseluruhan jika hasil belum diterima.
g) Lihat terlebih dulu gambar yang sudah dimuatkan dalam album sebelum proses percetakan dilakukan. Ini supaya jika ada perubahan, boleh diperbetulkan.

28/06/2009

NahamPhoto ShootOut! : Sekakap

Filed under: Workshop — ipent @ 9:20 PM

Tarikh : 15 & 16 OGOS 2009 (Sabtu & Ahad)
Tempat : Pusat Kecemerlangan & Pembangunan Insan (PKPI) Sekakap Mersing, Johor
Pengajar : Harris Fadzilah Rahmat

NahamPhoto julungkalinya akan menganjurkan satu bengkel fotografi outdoor istimewa dengan konsep yang SANTAI. Bengkel 2 hari 1 malam ini bertujuan mendedahkan peserta dengan teknik & ilmu dalam bidang fotografi berdasarkan apa yang ada disekeliling mereka sambil bersantai & beramah mesra sesama peserta. Hanya 10-15 orang peserta sahaja yang dibenarkan menyertai bengkel ini untuk satu masa/ sesi.

Pengenalan PKPI
Pusat Kecemerlangan & Pembangunan Insan (PKPI) merupakan pusat latihan membina semangat ke-2 tertua di Malaysia. Ia dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia ke-2 iaitu Y.A.B. Tun Abdul Razak Hussien pada 16 Mei 1975. PKPI mempunyai khazanah flora & fauna yang pasti memikat hati dengan permandangan pantai Laut China Selatan & pulau-pulau yang menarik.

OBJEKTIF
1) Mengasah bakat yang ada dalam diri peserta supaya dapat memberikan hasil yang berkualiti tidak kira dari segi seni atau teknikal.
2) Memberi pengalaman kepada peserta agar mereka memperoleh idea-idea yang kreatif dan segar dalam karya fotografi mereka.
3) Bertukar-tukar pengetahuan & pendapat sesama peserta agar dapat digunakan sebaiknya dalam bidang fotografi yang mereka ceburi.
4) Menguatkan ukhwah & kemesraan antara peserta-peserta.

SYARAT PENYERTAAN
1) Berumur 18 tahun keatas.
2) Mempunyai minat yang tinggi dalam bidang fotografi tidak kira sebagai hobi mahupun kerjaya.
3) Sekurang-kurangnya memiliki kamera DSLR (membawa flash juga digalakkan).
4) Menginap di tempat yang disediakan penganjur supaya tidak ketinggalan dalam aturcara yang ditetapkan.

ALATAN YANG PERLU ANDA BAWA
1) Kamera, lensa & charger.
2) Barang-barang keperluan peribadi (tuala, selimut, sabun, shampoo dll)
3) Kasut sukan untuk aktiviti outdoor.
4) Pakaian sesuai yang tidak menjolok mata.
5) Digalakkan juga membawa laptop sendiri.

ATURCARA

Hari Pertama
11.00 pg : Sampai di PKPI, majlis perasmian
12.00 tgh : Makan tengahari, check-in di PKPI
1.00 ptg : Berehat, solat Zuhur, bergerak ke muara Sungai Jemaluang
2.00 ptg : Ice breaking (sesi suai kenal peserta)
3.00 ptg : SESI 1 : Model Shooting di muara Sungai Jemaluang [Workshop]
5.00 ptg : Rehat & minum petang, solat Asar
5.30 ptg : SESI 2 : Nature Shooting sepanjang Pantai Sekakap [Workshop]
6.30 ptg : Aktiviti bebas (mandi laut, futsal pantai dll)
7.15 ptg : Rehat, solat Maghrib
8.00 mlm : Makan malam & solat Isyak
9.00 mlm : SESI 3 : Photographer Tips & Evaluation [Analisis]
11.00 mlm : Rumusan & rehat

Hari Kedua
6.00 pg : Solat Subuh, persiapan
7.00 pg : Sesi 4 : Sunrise Shooting [Workshop]
8.00 pg : Sarapan pagi
9.00 pg : Sesi 5 : Model Shooting dengan ‘tema’ tertentu [Pertandingan]
11.00 pg : Pemilihan gambar terbaik & rumusan
12.00 tgh : Rehat & makan tengahari
1.00 ptg : Solat Zuhur & check-out PKPI
2.00 ptg : Majlis penutup & penyampaian hadiah, sijil, group photo
3.00 ptg : Bergerak pulang

MODUL BENGKEL

Sesi 1: Peserta akan diberi peluang mengambil gambar model dilokasi yang agak mecabar dan mereka akan menaiki bot JPAM untuk shooting ini. Peserta juga akan diajar teknik untuk mengambil gambar outdoor & mencari kreativiti dalam gambar mereka.

Sesi 2 : Peserta akan berjalan disepanjang pantai untuk merakam permandangan flora dan fauna. Jika bertuah, peserta dapat mengambil gambar tapak kaki binatang buas sebagai koleksi gambar. Peserta juga akan diajar cara mengambil gambar panorama.

Sesi 3 : Peserta akan diberi peluang menilai & membaiki gambar yang telah mereka ambil dalam sesi sebelumnya bersama peserta-peserta yang lain. Selain itu, komposisi, idea, & pose yang kreatif juga akan dibincangkan.

Sesi 4 : Peserta berpeluang mengambil gambar matahari terbit & teknik-teknik tertentu seperti silhoutte.

Sesi 5: Peserta akan mengasah bakat & kreativiti mereka untuk mengambil gambar model dengan tema tertentu (cth : perkahwinan) dan pemenang akan menerima hadiah.

YURAN PENYERTAAN

Peserta Biasa : RM400
Ahli Forum / Bekas Pelajar NahamPhoto : RM350
Early Bird (daftar sebelum 25 Julai 2009): RM300

PAKEJ/ NILAI WANG ANDA TERMASUK
1. T-Shirt rasmi
2. Nota-nota bengkel
3. Sijil
4. Dua orang model/ jurusolek selama 2 hari
5. Penginapan
6. Makanan
7. Cenderahati istimewa dari NahamPhoto
8. Lokasi menarik yang tidak semua orang boleh mengalaminya.

CARA BAYARAN : Deposit RM200 ATAU bayaran penuh dimasukkan ke akaun Maybank : Naham Photo Enterprise(5013 4720 2731).

SMS atau e-mel NAMA, NO. HP, EMAIL, SAIZ T-SHIRT serta JUMLAH BAYARAN anda sebagai pengesahan bayaran.

Baki bayaran dijelaskan sebelum bengkel bermula.

PERTANYAAN & TEMPAHAN : SMS : 013-744 3734 (Harris) ATAU E-mail : info@nahamphoto.com

TARIKH TUTUP PENDAFTARAN : 8 OGOS 2009

PINDAAN : Pihak kami berhak membuat sebarang pindaan tentang apa jua maklumat yang dinyatakan dalam risalah ini. Sebarang perubahan akan dimaklumkan dengan segera kepada para peserta.

INGAT! KEPADA PESERTA YANG MENDAFTAR SEBELUM 25 JULAI 2009 AKAN MENDAPAT HARGA DISKAUN EARLY BIRD IAITU RM300! TERHAD KEPADA 15 ORANG PESERTA SAHAJA! DAFTAR SEKARANG!

“Raikan Detik Anda!”

29/05/2009

Fadhilah dan Firdaus – 17.5.2009

Filed under: Wedding — ipent @ 11:28 PM

Alhamdulilah … selesai sudah satu lagi majlis yang berlangsung di Kg Jeram Batu, Pekan Nanas, Johor … melibatkan sepasang merpati sejoli iaitu saudari Fadhilah & suaminya saudara Firdaus … majlis ini bermula pada pagi Sabtu 16 Mei 2009 iaitu majlis pernikahan yang berlangsung di Masjid Kg Jeram Batu dan diikuti dengan majlis berinai pada malamnya … pada keesokkan harinya pula iaitu Ahad 17 Mei 2009 berlangsung majlis persandingan mempelai ini

Kami di IPE berasa bertuah dan senang hati dapat bekerja dengan pasangan ini kerana mereka sangat ‘sporting’ semasa shooting dilakukan … pada mulanya mereka agak malu-malu kucing tetapi lama kelamaan mampu juga mereka tersenyum semasa gambar mereka dirakamkan

Sepanjang majlis ini berjalan … IPE banyak dibantu oleh mak andam pengantin iaitu kak Sarimah … kak Sarimah adalah orang yang bertanggungjawab … menyolek serta mendandan pasangan ini agar nampak berseri pada hari itu … kami bergabung tenaga dalam mengendalikan majlis pasangan ini … TERIMA KASIH kak …

Akhir kata … SELAMAT PENGANTIN BARU … semoga berbahagia hingga ke akhir hayat

Jurufoto majlis : IPE
Andaman : Sarimah Makeup Artist

Older Posts »

Blog at WordPress.com.